BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, September 3, 2009

Indahnya Tarbiah Ramadhan



Saat ini, ketika mereka sedang menikmati juadah berbuka bersama keluarga tersayang, aku di sini hanya berseorangan. Bersahur, berbuka, semuanya bersendirian. Berdepankan jendela biru, dipayungi langit biru yang terbentang luas, dan hanya bertemankan si Boboy yang setia di sisi....

Sungguh, aku terlalu merindui suasana ramadhan di rumahku, yang jauh bezanya dengan bi’ah di sini. Rindu bersahur, berbuka, juga bertarawih bersama-sama family…suasana dipenuhi dengan ibadah kepadaNya, seolah-olah wujudnya pesta ibadah, berlumba-lumba memohon rahmah dan maghfirah dariNya..Tetapi di sini, aku sukar untuk menghayatinya dengan tenang. Kadang-kadang, aku terpaksa berhadapan dengan situasi yang amat menguji keimananku. Ketika orang lain gembira berbuka puasa bersama-sama, telingaku dibingitkan dengan gelak tawa kawan-kawan serumah, terutamanya yang bukan muslim. Aku tidak pernah menghalang mereka untuk melepaskan tekanan di hati, tetapi, sekurang-kurangnya cubalah menghormati waktu yang sangat berharga bagi kami, sebagai seorang muslim...Allahu yahdi..moga Allah memberi kekuatan kepadaku dalam menghadapi ujian ini...

Alhamdulillah, aku sangat bersyukur mendapat didikan yang baik dari abah dan ummiku. Masih kukuh diigatanku, detik-detik gentar ketika mula mengenali dunia puasa. Aku mula diajar berpuasa ketika umurku genap 6 tahun. Aku seronok melihat keluarga dan sandara-maraku bersahur, berbuka, seolah-olah menjamu pesta makan setiap hari. Begitulah fikiranku ketika itu. Disebabkan kegirangan itu, aku mula berjinak-jinak dengan dunia itu. Apatalah lagi, ummi sering mengejutkan anak-anaknya apabila tiba sahaja waktu bersahur.

Kata ummi, “Tak po toksey poso pun, yang penting ambil keberkatan sahur tu, cuba dulu poso separuh hari, kalu rasa tak larat baru bukak deh…”


Dengan sokongan dari ummi dan abah, aku cuba untuk berpuasa. Melihat kedua-dua kakakku yang agak lembik juga meneruskan puasa mereka, kadang-kadang agak menguji kesabaran aku.

Hari pertama berpuasa, hanya tuhan yang tahu betapa lemahnya aku. Aku merasakan seolah-olah tidak menjamah makanan untuk setahun lamanya. Aku cuba kuatkan diri. Tetapi gagal. Sampai nangis-nangis juga tidak dapat menahan kelaparan. Ummi cuba memujukku.

Kata ummi “Takpo, gi la bukok poso, Yang ( nama panggilanku di rumah) poso setengah hari pun syukur dah, Allah suka sangat2 dah. Bukok la poso, esok cuba lagi deh...” ummi tidak henti-henti memberi kata-kata semangat kepadaku.

Yang pasti, ketika umurku dalam lingkungan itu, aku masih tidak diberi qudrat olehNya untuk berpuasa penuh. Tapi alhamdulillah, aku masih diberi kekuatan untuk berpuasa setengah hari pun, sangat aku syukuri...

Setelah umurku meningkat ke darjah satu, pengalaman berpuasa masih tidak ada bezanya. Cuma aku dapat sedikit kudrat untuk berpuasa penuh, walapun tidak sampai sebulan yang mampu dilakukan. Kalau tidak silap, dalam 10 hari rasanya. Disebabkan kakak-kakaku semuanya dapat berpuasa penuh, mereka sering memerli aku. Kata mereka, orang tidak berpuasa penuh tak boleh raya, apatah lagi baju raya dan duit raya. Tercabar juga rasanya. Tapi, hanya itu yang mampu aku lakukan ketika itu…

Ketika umurku meningkat ke darjah 3, aku targetkan diri untuk berpuasa penuh bulan itu. Ditambah dengan kata-kata semangat dan ‘tawaran’ dari ummi, makin bersemangat rasanya.

Kata ummi, “Sapo poso penuh bule ni, ummi wi rm 50 ya….”


Fuh, makin la bersemangat aku nak berpuasa. Waktu kanak-kanak dulu, memang pantang bunyi tawaran duit, laju je rasa..he he~ mungkin ini adalah salah satu cara untuk memujuk anak-anak kecil untuk berpuasa penuh?sape tahu..~


Terlalu banyak rasanya ujian yang perlu dihadapi untuk memenuhi permintaan ummi. Faktor kawan, yang suka makan depan-depan, ada yang mahu belanja aiskirm, sedikit sebanyak mengegarkan jiwaku ketika itu. Aku cuba melawan perasaanku, “ x bleh x bleh, x puasa penuh nanti x bleh raya, x dapat duit raya, nanti rm 50 x dapat!kakak-kakakku juga mesti gelakkan aku nanti!x bleh. aku mesti puasa penuh!”

Alhamdulillah..dengan semangat yang kental, akhirnya pada umur 9 tahun aku dapat berpuasa penuh sebulan. Syukur rasanya, mungkin ini adalah berkat doa ummi dan abahku, yang tidak putus-putus mendoakan anak bongsunya ini…alhamdulillah…

Seronoknya suasana ramadhan yang lalu. Awal-awal pagi sudah bangun sahur bersama family. Ummi dan abahku sering menasihatiku, agar tidak meninggalkan solat tahajjud, sekurang-kurangnya dua rakaat, teruatamanya bulan yang penuh keberkatan ini. Sebelum bersahur, kami sekeluarga dahulukan solat tahajjud dalam bilik masing-masing. Selepas itu barulah kami bersahur bersama-sama. Ketika itu, ummi lah yang suka melambatkan sahurnya, biasanya 15 minit tibanya azan baru mula ke meja makan. Kata ummi ‘sunnat melambatkan sahur…’ dan kami hanya mampu tersenyum waktu itu. Begitulah ummi, sentiasa mengutamakan sunnah Nabi s.a.w dalam apa jua keadaan sekalipun, antara sifat yang amat mengagumkan aku...

Sementara menunggu azan Subuh, kami menghabiskan bacaan al-Quran mengikut sambungan masing-masing. Setelah itu, kami bersama-sama ke masjid berdekatan secara bergilir-gilir, antaranya Masjid Muhammadi, Telipot, Langgar dan Kampung Sireh untuk solat berjemaah di sana. Alhamdulillah….

Terawih

Masa kecil-kecil dahulu, aku dan keluarga hanya menunaikan solat terawih di rumah. Di sebabkan tiada surau yang berdekatan di kampungku, menyebabkan warga tua yang uzur sukar menunaikan solat sunat ini. Justeru, rumahku menjadi medan utama untuk mereka menunaikan solat tarawih berjemaah. Jadi, apabila tiba sahaja bulan ramadhan, orang ramai akan berpusu-pusu datang ke rumahku untuk menunaikan solat terawih. Warga tua khususnya, golongan muda juga kanak-kanak tidak terkecuali. Syukurnya di hati ini, kerna rumahku menjadi tempat berkumpulnya tetamu-tetamu Allah menunaikan amalan sunat ini. Dengan diimami oleh abah dan arwah datuk ku sebagai bilalnya, alhamdulillah…solat ini dapat diselesaikan dengan sempurna. Tetapi, semuanya berakhir setelah terbinanya surau dikampung setahun yang lalu. Setelah abah ditaklif menjadi imam di sana, orang-orang kampung mula beralih ke sana untuk berjemaah bersama-sama…alhamdulillah…

10 malam terkahir

Antara saat-saat yang dinantikan pada bulan yang penuh keberkatan ini ialah ketika menghadapi 10 malam terakhir. Ummi dan abah mula mencari-cari masjid untuk melakukan iktikaf. Masih jelas diingatanku, ketika masih kecil, ketika aku tidak mengerti apa-apa erti iktikaf, ummi dan abah mula ‘mendidik’ kami ke arah itu. Awal-awal pagi sekitar pukul 3 pagi, mereka mula mengejutkan kami 3 beradik supaya masuk dalam kereta. Dalam keadaan yang sangat mengantuk kadang-kadang amat mengegarkan jiwaku. Kadang-kadang sampai nangis tidak mahu diganggu. Tapi ummi pandai memujuk kami dengan pelbagai caranya. Ummi menyuruh kami masuk dalam kereta, dengan disertakan peralatan seperti ubat nyamuk, makanan untuk bersahur, meja kecil (ABC), tikar getah dan bantal. Ketika itu, aku tidak mengerti apa tujuan sebenar mereka menyediakan semua bekalan itu….



Tiba sahaja di Masjid Muhammadi ( masjid negeri), sebelum ummi menunaikan solat tasbih bersama-sama makmum yang lain, ummi terlebih dahulu menghamparkan tikar di ruangan rehat di masjid itu. Ummi memasang ubat nyamuk, dan menidurkan kami kembali dan terus menunaikan solat tasbih bersama jemaah yang lain. Barulah aku mengerti, bekalan-bekalan yang disediakan oleh ummi tadi adalah untuk memudahkan kami, agar ummi dapat menikmati solat tanpa ada gusaran di hati meninggalkan kami di rumah. Justeru, ummi mengambil inisiatif membawa kami bersama-sama ke masjid untuk memudahkannya berhadapan denganNya dalam keadaan yang khusuk. Ketika itu aku tidak mengerti apa itu solat tasbih. Yang aku tahu ianya adalah solat yang paling lama dalam setiap rukuk dan sujudnya dan memerlukan bacaan yang sangat panjang. Isk, x penat ke ummi berdiri lama-lama?persoalan itu menerjah di fikiranku…

Alhamdulillah, ketika umurku telah memasuki tingkatan satu, aku mula berjinak-jinak dengan solat ini. Pertama kali lakukannya amat menguji ketahananku. Penat, tetapi impaknya sangat positif, dapat menikmati ketenangan di hati yang hanya Allah sahaja yang tahu, di tambah lagi dengan bacaan syahdu imam hafiz..Allahu akbar…nikmat sungguh waktu itu…

Alhamdulillah, betapa bersyukurnya aku dikurniakan ibu bapa yang sangat menekankan soal agama, walauku tahu, betapa sukarnya untuk sampai ke tahap ini. Sentiasa berhadapan rotan dan ‘hanger’, di cubit dan dimarahi, hanya kerana mahu mendidik kami supaya lebih kenal penciptaNya... Ummi, abah, sesungguhnya diri ini terlalu merinduimu..merindui suasana ramadhan di rumah kita, yang jauh lebih tenang dari tempatku disini…Doakan anakmu ini, agar bisa menempuh ujian yang silih berganti, yang sering menguji tahap keimanan diri ini...Moga sisa-sisa ramadhan yang berbaki ini, dapat dipenuhi dengan ibadah kepadaNya, serta diberi peluang olehNya untuk menikmati malam yang sentiasa ditungu-tunggukan, malam yang penuh barakah...lailatul qadar...amiin...


4 september 2009
~anakummiabah~

0 comments: