BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, May 29, 2009

Hari terbuka AMAL 2009



Salam ukhuwwah kepada seluruh sahabat-sahabat. Jom sama-sama kita meriahkan Hari Terbuka AMAL 2009!

TARIKH: 5 & 6 Jun 2009

TEMPAT: Padang SMU (A) Maahad Muhammadi Lelaki

TENTATIF:

5 Jun 2009 (Malam Sabtu)
- Perasmian Hari Terbuka AMAL 2009
- Konsert AMAL UNIC (Masuk Percuma)

6 Jun 2009 (bermula 8.00 pagi)
- Program Motivasi Bersama UNIC
- Hari Keluarga AMAL bersama UNIC (terbuka kepada semua batch)
- Pertandingan Futsal dan acara sukaneka (hadiah menarik menanti anda).

Untuk pendaftaran (selewat-lewatnya 1 Jun 2009) atau sebarang pertanyaan sila hubungi:

Bro Faisal - 0139932169
Sis Arijan - 0133112457
Emel: amal.maahad05@gmail.com

Jom sama-sama kita meraikannya! :)

Tuesday, May 26, 2009

Aku impikan diriku...



Aku impikan diriku
Yang sentiasa ghairah bertasbih
Mengadu rindu kepadaNya
MengasihiNya sepenuh jiwa dan raga
mencintaiNya sekuat hati

Aku impikan diriku
Yang sentiasa mengalirkan air mata
Akibat rindunya aku kepada penciptaku
Akibat malunya aku kerana sering berbuat maksiat
Akibat segannya aku kerana sering menipu
Kecintaan ku kepadaNya

Aku impikan diriku
Yang hatinya sentiasa bergetar
Apabila nama Tuhanku disebut
Jantungku berdegup kencang
Bila disebut azabnya
Tetapi tenang semula
Bila dicerita kasih sayang Nya yang Maha Luas

Aku impikan diriku
Yang setiap detik mengingatiNya
Akan nikmatnya yang tidak tehingga
Kerana aku tiada apa-apa
Dialah yang Maha Pemberi

Aku impikan diriku
Yang sentiasa bertawakal padaNya
Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buatku
Maha suci dari menzalimiku
Kerana Dia penciptaku
Yang penuh dengan kecintaan kepada makhluknya

~Pengemis cintaMu~

Nilai kasihmu, kurindui...


"Aku rasa ustaz tak datang la hari ni…” keluh Asma apabila jamnya menunjukkan tepat pukul 10.30 pagi.

“Sabar la, aku yakin kelas ada, sebab Ustaz Khazri tu, dia akan mesej kat kita kalau dia tak dapat masuk. So, tunggu je la k...” Aqilah sempat mencelah, sambil membelek-belek nota di tangannya, meyakinkan Asma yang masih dalam kejemuan menunggu ketibaan ustaz yang masih juga tidak kelihatan.

“A’ah, betul tu Aqilah. Aku kenal sangat ustaz kesayangan aku tu tau, mungkin ustaz ada hal kot skarang ni, tu yang lambat ckit... kau pun satu Asma, sabar laa…eeii...dari tadi lagi duk membebel…sakit telinga aku tau…huh!” keluh Maryam Habibah, atau lebih glemer dengan gelaran ‘kak Yam’.

“Kau ni Kak Yam! Aku cakap pendapat aku je, mane tau kan, ustaz demam ke...,isk. Risau betul aku tau..” Asma cuba mencari helah, seperti biasa.

“Eleh, aku tau, kau ada rancangan lain kan? Kau kan suka tidur je..nak ponteng la tu..” keluh kak Yam tanda tak puas hati.

Asma dan Kak Yam memang begitu. Tidak sah kalau tidak bergaduh dalam sehari. Dan sememangnya kelasku itu tidak sesengit itu tanpa kehadiran mereka.

“Assalamualaikum semua, maaf ya ustaz lambat hari ni, ada urusan tadi, nak batalkan kelas, sedih plak kamu semua nanti kan…” ustaz bergegas masuk ke kelas kami, sempat bermain kata-kata berunsur ‘kinayah’.

Semua mata memandang si Asma dengan penuh keperlian.

Kan aku dah kata, ustaz takkan tak masuk kelas kita, kalau dia tak mesej…kan kan?” sempat Kak Yam memerli tajam si Asma.

“Kau ni Kak Yam! Tau peril aku jer…ya la ya la….kau je yang betul kan…eee…” ngomel si Asma tanda ketidakpuasan hatinya.

“Weh, korang berdua ni, dah la tu, tak abis-abis lagi ke? Weh, siapa yang bentang Nahu hari ni?” Fini me’nuetralkan’ keadaan.

“Norma kan? Adik bongsu kita tu...” Faiz yang dari tadi hanya mendiamkan diri, tiba-tiba bersuara.

“Amboi-amboi Faiz, sampai je turn Norma, laju je mung ni dih?” kedengaran suara Sumi berbaur sindiran, jauh dari belakang.

“A’lah. Take care betul ya. Itu tandanya…..” aku bermain kata dengan sumi, menyokong gurauannya.

“La, betul laa. Aku kan memang alert bab-bab ni, biasa lah, sebagai ketua kita mesti mengambil berat terhadap anak buah kita kan?” Faiz cuba menempis sindiran si sumi.

“Kak Sumi, Kak ct, siap hangpa kat kolej nanti naaa….” Norma mengeluh. Mukanya merah padam, sambil mengetip bibir, manja. Matanya pura-pura mencari tajuk yang hendak dibentang, cover line agaknya.

“Siti, kita tengok, apa yang dapat dibuat oleh adik kita tu nanti ya...” Sumi mencuit bahuku, sambil mengukir senyuman yang amat bermakna.

Aku hanya mampu tersenyum melihat gelagat teman-temanku. Walaupun ada di antara kami yang baru sahaja mengenali antara satu sama lain pada sem kali ini, keakraban kami tidak dapat dinafikan.

Begitulah suasana di kelas Maharat Istima’, set 19, anak didikan Ustaz Khazri. Tidak kenal erti kesunyian, ditambah dengan kewujudan Asma, yang membuatkan kelas kami menjadi lebih ‘hangat’ dari kelas-kelas yang lain.

Alhamdulillah. Aku bahagia menimba ilmu dengan Ustaz Maharatku ini. Dialah, ustaz Khazri, ustaz yang mengajar kami Maharat Istima’, yang sentiasa murah dengan senyuman. Tegas, tetapi berhati mulia.

Setiap kali waktu pengkuliahan, beliau cuba meyelitkan kata-kata hikmah arab, sekaligus memberi nasihat kepada kami. Beliau tidak pernah mengeluarkan kata-kata yang sia-sia, melainkan kami akan mendapat sesuatu yang bermakna dari kata-katanya itu. Kefasihah lahjah arabnya juga membuatkan aku kagum denganya. Mana tidaknya, bahasanya tidak tumpah seperti anak kelahiran orang Arab. Amat bagus sekali, walaupun kadang-kadang membuatkan aku blurr, mungkin kerana sukar untuk menangkap ungkapan powernya itu.

Beliau turut mempunyai citarasa yang hampir sama denganku, iaitu membaca buku “La Tahzan” karangan Dr. Aidh Al-Qarni.

Jelas, kelainan buku ini terletak pada pengisiannya yang bersumberkan aspek ketuhanan (rabbani) tanpa mengabaikan sisi kehidupan dunia. Malah kita diajak untuk melihat sisi dunia dengan kacamata yang seimbang. Cubalah anda bandingkan buku ini dengan buku yang sangat berpengaruh dan pernah menjadi best seller, misalnya,The Seven Habbit of Higly Effective,anda akan mendapati ia akan memandu kita untuk menjadi bahagia di dunia semata-mata dan meninggalkan kepentingan akhirat. Tambahan pula tiada pengisian kerohanian yang diberikan. Disinilah, orang-orang yang beriman memerlukan sentuhan kerohanian yang akan memberi input mengenai soal ketuhanan. Inilah perbezaan besar antara buku-buku motivasi karangan penulis barat dengan buku LA Tahzan ini.

Sememangnya tulisan dalam buku ini menyajikan resepi yang mujarab dengan menunjukkan kita bagaimana meniti jalan kehidupan yang penuh pancaroba serta membangunkan kehidupan yang bahagia dengan satu kata kunci : La Tahzan, Jangan Bersedih. Melalui kata kunci ini, kita akan sentiasa optimis dengan kehidupan malah tidap pernah pula dirisaukan dengan masa lalu yang duka dan tidak pula dihambat oleh perasaan bimbang oleh masa depan yang mendatang. Kita akan menjadi insan yang bekerja dan berusaha untuk hari ini dengan mencurahkan segala daya usaha dan kekuatan beserta keyakinan yang total, hasil akhirnya adalah terletak pada Allah.

Dan aku pasti, melalui buku ini, ustaz juga dapat merasai betapa manisnya berhubungan dengan tuhan. Yang mana ketika beliau menceritakan sedikit sebanyak kisah- kisah di dalam buku tersebut, menunjukkan beliau ‘bahagia’ denganNya…dan aku pasti, hanya mereka yang terpilih sahaja yang dapat merasainya…aku turut diberitahu teman-temanku, buku ini juga menjadi sahabat baik beliau sepanjang berada di hospital, akibat kemalangan jalan raya, 2 bulan yang lalu...


kenangan manis ketika bersama Ustaz Khazri

Setelah 4 bulan menimba ilmu dengannya, aku merasakan diriku seolah-olah akan kehilangan seorang ustaz yang sangat aku sayangi. Mungkin kerana sifat semulajadinya, yang sentiasa mengambil berat terhadap kami, dan sangat menghargai setiap kerja yang kami lakukan. Sukar untuk aku gambarkan bagaimana ‘terasanya’ kehilangan ustazku ini, walaupun beliau masih setia berada di Fpi. Mungkin disebabkan sem-sem yang akan datang, kami tidak dapat lagi menuntut ilmu di bawah bimbinganya. Dan aku dapat rasai, tidak pernah mengalami kesedihan seperti ini terhadap pensyarah-pensyarahku yang lain. Mungkin disebabkan sifat semulajadinya itulah yang membuatkan kami sentiasa mengaguminya…

Di suatu petang itu, ketika diriku tekun mengulangkaji madah Maharat Istima’ yang hanya dua hari sahaja lagi tibanya tarikh peperiksaan paper tersebut, aku diberitahu ustaz telah mengalami kemalangan berhampiran stesen Komuter UKM, ketika beliau dalam perjalanan ke Ukm. Allahuakhbar! Terkejutnya aku ketika itu. Aku diberitahu keadaan ustaz stabil dan ditempatkan di hospital di Seremban. Hatiku meronta-ronta mahu melihat keadaanya ketika itu. Tapi, apakah dayaku, paper- paper yang masih banyak lagi menantiku, membuatkan aku terpaksa menangguh waktuku menziarah beliau. Dari perkhabaran temanku, ustaz mengalami patah kaki dan syukur alhamdulillah, tubuhnya tidak mengalami sebarang kecederaan. Terima kasih ya Allah, atas jagaanMu terhadap insan ini…

Ustaz, betapa syukurnya kami dapat bertemu denganmu. Betapa indahnya ukhuwah dan kasih dan sayang yang dipinjamkan tuhan kepadamu. Senyuman yang sentiasa terukir dibibirmu membuatkan kami tenang menatap wajahmu. Keihkhlasanmu mencurahkan segala ilmu sangat kami kagumi…dan nilai dan kasih sayangmu, sukar dicari ganti….selama-lamanya…Hanya doa yang mampu kami ‘berikan’, bukti kasih dan sayang kami, kepadamu…

Ya Allah, rahmatilah ustazku ini, sesungguhnya hambamu ini sentiasa membuatkan kami tenang bersamanya. Betapa syukurnya diriku, atas kurniaanMu ini.. Sayangilah dia ya Allah, sepertimana sayangnya dia kepada kami…kurniakanlah dia keberkatakan hidup di dunia dan di akhirat…moga dia sentiasa dalam nikmat jagaanMu tuhanku….

“Ustaz Khazri, kami akan sentiasa merinduimu…’

-26 Mei 2009-

Siti Mariam Abdullah,
Jabatan Al-Quran dan Sunnah,
Tahun 2,
UKM

Friday, May 22, 2009

Keputusan Mahkamah Rayuan : Perak milik Zambry



PUTRAJAYA, 22 Mei (Hrkh) - Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah dengan undian tiga hakim memberi keputusan menyebelahi Zambry.

Hakim Dato' Md Raus Shariff, yang bersidang bersama Hakim Dato' Zainun Ali dan Hakim Dato' Ahmad Maarop memberi keputusannya itu jam 3.50 petang tadi.

Semalam, panel tiga hakim itu mendengar selama tujuh jam penghujahan oleh tiga pihak yang terlibat terdiri Zambry, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail selaku pencelah.

Permohonan Nizar agar rayuan itu didengar oleh panel lima hakim telah ditolak.

Pada 11 Mei, Hakim Mahkamah Tinggi Dato' Abdul Aziz Abdul Rahim menetapkan bahawa Nizar tidak melepaskan jawatan Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri Perak.

Berhujah bagi pihak Nizar, peguam Sulaiman Abdullah, berkata mengikut Perkara 16(6) Perlembagaan Perak, Menteri Besar tidak memegang jawatan atas perkenan Sultan.

Tetapi tambahnya, berdasarkan keyakinan anggota dewan undangan negeri, yang beliau mempunyai tanggungjawab terhadap mereka.

"Oleh yang demikian, Nizar tidak boleh dipecat oleh Sultan. Nizar hanya boleh dipecat selepas undi tidak percaya diluluskan terhadap beliau oleh anggota dewan undangan negeri," katanya.

Sulaiman berkata Hakim Abdul Aziz bertindak betul apabila beliau mengguna pakai keputusan dalam kes bekas Ketua Menteri Sarawak Stephen Kalong Ningkan iaitu satu-satunya cara bagi memecat Nizar daripada jawatan ialah melalui undi tidak percaya.

"Oleh itu, kami menyatakan bahawa tidak ada sebab bagi mahkamah ini untuk tidak mengikut dan mengguna pakai kes Ningkan bagi kes kami ini," katanya.

"Sama ada Menteri Besar berkenaan telah tidak lagi mendapat keyakinan majoriti, bukan diputuskan oleh rakyat Perak, dan bukan juga diputuskan oleh Sultan, tapi hanya diputuskan oleh anggota dewan undangan negeri yang dipilih," kata Sulaiman.

Sulaiman mengakhiri sesi penghujahan sebelum mahkamah ditangguhkan pukul 5 petang semalam.

Sementara itu di sebelah paginya peguam Dato' Cecil Abraham yang mewakili Zambry, menyenaraikan 24 alasan bagi membuat rayuan, dengan meminta mahkamah membuat ketetapan mengenai sembilan isu.

"Soalnya ialah sama ada hakim yang mengendalikan kes itu membuat tafsiran yang betul mengenai Perkara 16, 18 dan 36 Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak. Saya ingin berhujah bahawa Yang Arif Hakim berkenaan telah terkhilaf," katanya.

Beliau berkata Perkara 16 amat jelas bahawa apabila seorang Menteri Besar hilang kepercayaan majoriti anggota Dewan, dia perlu meletak jawatan.

"Ia tidak menyatakan beliau mesti kembali ke Dewan (untuk hadapi undi tidak percaya)," katanya.

Beliau berkata hakim berkenaan juga tersilap kerana mengandaikan bahawa Sultan Perak tidak ada kuasa untuk memastikan sama ada terdapat satu kebuntuan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) atau sama ada Nizar telah hilang kepercayaan majoriti anggota Dewan.

"Kami juga ingin mengemukakan di sini bahawa undi tidak percaya bukanlah satu-satunya jalan untuk memastikan bahawa responden (Nizar) tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti anggota," katanya.

Cecil berhujah bahawa mengikut Perlembagaan, tidak ada peruntukan khusus supaya undi tidak percaya diluluskan oleh DUN bagi memastikan Menteri Besar telah kehilangan kepercayaan.

Dalam penghujahannya, Cecil juga berkata Mahkamah Tinggi membuat keputusannya tanpa mengambil kira fakta tepat dan dokumen yang mempunyai kaitan dengan kes itu.

"Penghakiman itu, secara menyeluruh, tidak mengambil kira fakta dan dokumen berkenaan dan ini menjadikan pengisytiharan yang dibuat Mahkamah Tinggi, adalah silap," katanya.

Cecil berkata, bukti dokumen menunjukkan tidak wujud kebuntuan dalam politik Perak sebelum Nizar menghadap Sultan Perak pada 4 Feb.

"Ini kerana, pada 3 Feb, tiga anggota dewan undangan negeri Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang), telah mengemukakan surat kepada Sultan Azlan Shah bagi memaklumkan kepada baginda bahawa mereka telah hilang keyakinan terhadap Nizar dan berikrar menyokong Barisan Nasional.

"Surat berkenaan diterima Sultan pada pukul 3 petang, iaitu sebelum Sultan menerima menghadap Nizar pada pukul 5 petang.

"Sehingga 5 petang semalam, apabila Nizar memohon pembubaran itu, bagaimanakah keadaan politik di Perak ketika itu? Yang Arif hakim perbicaraan telah gagal menimbangkan dan mengambil kira sepenuhnya perkara ini dalam penghakiman beliau," kata Cecil.

Sementara itu, Abdul Gani berkata Nizar tidak boleh mendakwa beliau mendapat keyakinan majoriti kerana terdapat jumlah undi sama banyak iaitu 28 bagi keduadua pihak (Pakatan dan Barisan Nasional).

"Dalam kes ini, 50-50. Ia bererti tidak ada majoriti atau minoriti. Malah, responden (Nizar) mendapat 28 undi, termasuk Speaker V.Sivakumar, tapi mengikut peraturan tetap, speaker tidak boleh mengundi," katanya.

Abdul Gani juga berkata apabila Nizar menghadap Sultan Azlan Shah pada 4 Feb, beliau mengaku berlaku kebuntuan dalam dewan undangan negeri itu.

"Kebuntuan bererti tidak ada undi majoriti atau minoriti. Bagaimana pula, pada mulanya, Nizar berkata beliau mendapat undi majoriti, tapi pada waktu yang sama, mendakwa wujud kebuntuan," katanya.

Selepas selesai perbicaraan semalam, Nizar berkata beliau yakin akan sokongan rakyat Perak terhadapnya.

"Apa yang kami minta ini adalah untuk mereka dan apa yang kami lakukan ini hanyalah untuk mendapatkan keadilan melalui proses mahkamah," katanya.

Terdahulu sebelum persidangan bermula, barisan peguam kedua-dua pihak mula memasuki mahkamah pada pukul 9 pagi tadi.

Nizar tiba kira-kira 15 minit kemudian bersama isteri dan beberapa penyokongnya.

Pasukan polis kelihatan mula melakukan kawalan sejak awal pagi.

Isu perundangan melibatkan Zambry dan Nizar telah bermula sejak Februari lalu apabila Dr Zambry telah dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Nizar selepas BN mengambil alih pemerintahan Perak daripada Pakatan Rakyat.

Berikutan itu, pada 13 Februari lalu, Nizar memfailkan permohonan untuk mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.

Kemudiannya pada 11 Mei, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Zambry bagaimanapun membuat rayuan berhubung keputusan itu pada 12 Mei dan Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi sehingga kes rayuan Zambry selesai.

Nizar keesokannya pula membuat permohonan bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu bagi penangguhan pelaksanaan itu.

~harakahdaily.net~

Di Syurga menanti...


Bersumber dari Raja’ bin Umar An-Nakha’i, dia pernah bercerita: “Dahulu di kota Kufah tinggallah seorang pemuda tampan rupawan yang tekun dan rajin beribadat, dan dia termasuk salah seorang ahli zuhud. Suatu hari pemuda itu singgah di kalangan kaum An-Nakha’ dan di sana dia bertemu dengan seorang gadis yang cantik. Sejak melihatnya pertama kali, dia pun jatuh hati dan tergila-gila oleh kecantikannya. Demikian juga si gadis yang merasakan hal serupa sejak pertama melihat pemuda itu. Si pemuda lalu mengutus seseorang untuk meminangnya, tetapi ternyata gadis tersebut telah dipertunangkan dengan putera bapa saudaranya.

Mendengar keterangan ayah si gadis itu, mereka berdua menahan beban cinta yang sangat berat. Si gadis tadi kemudian mengutus seorang hambanya untuk menyampaikan sepucuk surat kepada pemuda tambatan hatinya: “Aku tahu betapa engkau sangat mencintaiku, dan kerananya, betapa besar penderitaanku terhadap dirimu sekalipun cintaku tetap untukmu. Seandainya engkau berkenan, aku akan datang berkunjung ke rumahmu atau aku akan memberikan kemudahan kepadamu bila engkau mahu datang ke rumahku.”

Setelah membaca isi surat tersebut, si pemuda kacak itu pun berkata kepada utusan wanita pujaan hatinya, “Kedua tawaran itu tidak ada satu pun yang kupilih! Sesungguhnya aku takut akan seksaan hari yang besar bila aku sampai derhaka kepada Tuhanku. Aku juga takut akan neraka yang api dan jilatannya tidak pernah surut dan padam.”

Pulanglah utusan kekasihnya itu dan dia pun menyampaikan segala yang disampaikan oleh pemuda itu. Si gadis lalu berkata, “Selamanya aku belum pernah menemui seorang yang zuhud dan selalu takut kepada Allah SWT seperti dia. Demi Allah, tidak seorang pun yang layak mendapatkan gelaran kemuliaan kecuali dia, sedangkan kebanyakan orang adalah munafik.”

Setelah berkata demikian, gadis itu lalu melepas segala urusan duniawinya serta membuang jauh-jauh segala sesuatu yang berkaitan dengan dunia. Dia pun memakai pakaian dari tenunan kasar dan sejak itu tekun beribadat, sementara hatinya merana, badannya juga kurus oleh beban cintanya yang besar kepada pemuda yang dicintainya. Dan kerinduannya yang mendalam menyelimuti sepanjang hidupnya hingga akhir hayatnya.

Setelah gadis itu meninggal dunia, sang pemuda sering pula berziarah ke makamnya. Pada suatu ketika dia bermimpi seakan-akan melihat kekasihnya dalam keadaan yang sangat menyenangkan. Pemuda itu pun bertanya, “Bagaimana keadaanmu dan apa yang kau dapatkan setelah berpisah denganku?”

Gadis kekasihnya itu menjawab dengan menyenandungkan untaian syair: Kasih...
cinta yang terindah adalah mencintaimu,
sebuah cinta yang membawa kepada kebajikan.
Cinta yang indah hingga angin syurga berasa malu
burung syurga menjauh
dan malaikat menutup pintu.
Mendengar penuturan kekasihnya itu, pemuda tersebut lalu bertanya kepadanya, “Di mana engkau berada?”
Kekasihnya menjawab dengan melantunkan syair:
Aku berada dalam kenikmatan
dan kehidupan yang tiada mungkin berakhir
berada dalam syurga abadi yang dijaga oleh para malaikat
yang tidak mungkin binasa
yang akan menunggu ketibaanmu, wahai kekasih
Pemuda itu kembali berkata kepada kekasihnya, “Di sana aku mohon agar engkau selalu mengingatiku dan sebaliknya aku pun tidak dapat melupakanmu!”

“Dan demi Allah, aku juga tidak akan melupakan dirimu. Sungguh, aku telah memohon untukmu kepada Tuhanku juga Tuhanmu dengan kesungguhan hati, sehingga Allah berkenan memberikan pertolongan kepadaku!” jawab gadis kekasihnya itu.

Pemuda itu kembali berkata kepadanya, “Bila aku dapat melihatmu kembali?”

“Tak lama lagi engkau akan datang menyusulku kemari,” jawab kekasihnya.

Tujuh hari sejak pemuda itu bermimpi bertemu dengan kekasihnya, ia meninggal dunia. Semoga Allah sentiasa mencurahkan kasih sayang-Nya kepada mereka berdua dan mempertemukannya kembali di syurga.