
Hari ini, seluruh rakyat Malaysia meraikan sambutan manusia teragung yang sangat kita sanjungi, Rasulullah s.a.w. Adakah wujud sebenarnya sambutan ini dalam Islam?
Hari Maulud (kelahiran) Nabi Muhammad SAW bertujuan untuk memuliakan Nabi Muhammad SAW berasaskan firman Allah dalam Al-Quran (terjemahannya ) :-
"Maka orang yang beriman kepadanya (Muhammad saw) memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al-Quran) mereka itulah yang beruntung."
Al-Araf: 157
Terdapat 2 pendapat mengenai Maulud Nabi, iaitu pendapat pertama melakukannya adalah satu perbuatan yang dianjurkan bagi umat Islam. Pendapat kedua pula menyatakan menyambut hari Maulud adalah satu bidaah disebabkan ia tidak pernah dilakukan semasa zaman Rasullullah dan para sahabat.
Menurut pendapat pertama, hujah mengapa Maulud Nabi boleh diraikan adalah :-
Bahawasanya Nabi Muhammad S.A.W. datang ke Madinah maka beliau mendapati orang-orang yahudi berpuasa pada hari Asyura iaitu hari 10 Muharram, maka Nabi S.A.W. bertanya kepada orang yahudi itu: "Kenapa kamu berpuasa pada hari Asyura?"
Jawab mereka: Ini adalah hari peringatan, pada hari serupa itu dikaramkan Firaun dan pada hari serupa itu Musa dibebaskan, kami berpuasa kerana bersyukur kepada Tuhan.
Maka Nabi S.A.W. berkata:
"Kami lebih patut menghormati Musa berbanding kamu."
~Riwayat Bukhari dan Muslim~
Ibnu Hajar Al-Asqalani pengarang Syarah Bukhari yang bernama Fathul Bari berkata bahawa dari hadis ini dapat dipetik hukum:
Umat Islam dibolehkan bahkan dianjurkan memperingati hari-hari bersejarah, hari-hari yang dianggap besar umpamanya hari-hari maulud, miraj dan lain-lain. Nabi pun turut memperingati hari tenggelamnya Firaun dan bebasnya Musa, dengan melakukan puasa Asyura sebagai bersyukur atas hapusnya yang batil dan tegaknya yang hak.
Menyambut ulangtahun keputeraan baginda rasul saw. tidak sama sebagaimana kita menyambut ulangtahun keputeraan tokoh – tokoh dunia yang lain yang hanya berlegar di sekitar majlis upacara dan keraian. Sambutan Ulang tahun keputeraan Nabi saw. adalah sangat penting bagi kita ummat Islam akhir zaman. (sekalipun ianya tidak pernah dianjurkan oleh baginda dan para sahabat rhm.) Justeru sambutan ini berfungsi untuk mengingat dan menginsafkan ummah terhadap beberapa perkara :
• Kesyukuran terhadap perutusan rasul saw. yang menyelamatkan manusia dari kegelapan jahiliyyah kepada cahaya hidayah.
• Penyataan bersama bahawa kita seluruh ummat Islam bersedia dan sanggup untuk melaksanakan syariat dan sunnah yang ditinggalkan oleh baginda.
• Ikrar dan janji setia, bahawa kita akan menyambung risalah dan perjuangan baginda rasul saw.
• Mengambil qudwah dan iktibar dari keperibadian dan sirah (perjalanan hidup) baginda rasul saw.
"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)"
Surah Al Ahzaab. Ayat : 21

Jelaslah di sini, tiada siapa yang mampu menafikan, bahawa zaman Rasulullah s.a.w adalah zaman kegemilangan Islam dan kita tentunya juga mendambakan kegemilangan tersebut. Justeru, suka atau pun tidak, kita seharusnya kembali menilai formula dan kaedah baginda s.a.w membentuk kegemilangan. Ayuhlah sahabatku, kita renungi kembali segala pengorbanan yang telah Baginda lakukan, demi memartabatkan Islam tercinta. Apakah pengorbanan kita terhadap baginda?hanya semata-mata meraikannya sahaja?Marilah bersama-sama kita berselawat, bukti cinta dan sayangnya kita kepada kekasihNya, Rasulullah s.a.w...
Sabda Nabi s.a.w: “Dari Ibnu Mas’ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : "Orang yang terdekat denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.” (Hadis Riwayat At-Trimidzi)
Sabda Nabi s.a.w: “Dari Abu Hurairah r.a berkata : Rasulullah s.a.w bersabda : "Janganlah kamu jadikan kuburku sebagai tempat perayaan dan berselawatlah kepadaku,maka sesungguhnya bacaan selawatmu itu akan sampai kepadaku dimana sahaja kamu berada" (Hadis Riwayat Abu Daud )
Sabda Nabi s.a.w: "Tiada dari seseorang yang mengucapkan salam kepadaku melainkan Allah menerima ruhku sehingga aku menjawab salam kepadanya" ( Hadis Riwayat Abu Daud )
Berdasarkan dari hadis-hadis ini , jelas bahawa membaca selawat kepada Nabi s.a.w adalah suatu dari rangkaian iman dan ibadah yang wajib disempurnakan oleh kaum Muslimin dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan. Semoga dengan sentiasa berselawat ke atas Nabi , Allah akan memberi rahmat dan keberkatan dalam kehidupan kita semua…ameen~
Pemburu cintaMu,
~ummuhirrah~